.

SALAM MAAL HIJRAH
TUNGGANG DENGAN CERMAT MENYELAMATKAN HARTA DAN NYAWA

Wednesday, May 20, 2009

LAPORAN PROGRAM JOM KAYUH 2009

Pada 9-10 Mei yang lepas, Mahkota Bikers sekali lagi menyumbangkan baktinya kepada program-program berprofil tinggi yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan. Kali ini Program Jom Kayuh anjuran Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Gerakan Belia 4B (M) cawangan Bandar Baru UDA, Kelab Radio Kawalan Pelangi Johor Bahru, dan Mahkota Bikers telah berjalan dengan jayanya.

Program ini bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal di kalangan masyarakat umum dan juga golongan kurang upaya. Jarak perjalanan program ini adalah sejauh 243 km.

Program Jom Kayuh telah mendapat liputan meluas media massa tempatan. Antaranya ialah bual bicara penyelaras program ini iaitu Pak Lah yang telah ke udara selama 10 minit di dalam rancangan Malaysia Hari Ini di TV3. Selain itu pihak RTM juga turut sama membuat liputan sepanjang program berlangsung.

Pada pagi 9 Mei 2009, upacara pelepasan telah disempurnakan oleh DYAM Tunku Ismail Ibrahim Ibni Ibrahim Ismail, Raja Muda Johor yang turut mencemar duli bagi menyokong program seumpama ini. Upacara diadakan di Festive Street Mall, Danga Bay. Upacara turut dimeriahkan dengan acara J-Robik.

Seramai hampir 600 peserta program, terdiri daripada 150 penunggang basikal, peserta konvoi, jawatankuasa penganjur dan yang utamanya ialah 40 ahli Mahkota Bikers telah bertugas sebagai Road Marshall. Mahkota Bikers telahpun menjalankan tugasnya dengan begitu cemerlang dan berdisiplin sepanjang laluan selain membantu memudahkan anggota trafik PDRM bertugas.

Beberapa perhentian utama telah disinggah oleh konvoi program, antaranya ialah di Rumah Alumni, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai; Pusat Rekreasi Sg. Rambah, Kukup, Pontian; Hentian Mahkota, Parit Simen, Batu Pahat; Pusat Rekreasi Air Panas, Gerisek, Muar; Taman Rekreasi Sg Kesang, Muar; dan di Melaka, konvoi telah bertemu dengan konvoi Jom Kayuh anjuran PRADAS dari Kuala Lumpur di Hutan Lipur Ayer Keroh. Seterusnya konvoi bergerak bersama ke lokasi penamat di Litar Go-Kart di Ayer Keroh dan disambut meriah oleh YAB Dato' Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka.

Pada keesokan harinya 10 Mei 2009, konvoi telah kembali bergerak ke Johor Bahru pada jam 10:30 pagi dan tiba di Danga Bay pada jam 2:00 petang. Pak Lah merakamkan penghargaan kepada semua penunggang basikal yang sudi turut serta memeriahkan Program Jom Kayuh 2009.

Mahkota Bikers juga turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih kepada barisan jawatankuasa dan penggerak Program Jom Kayuh 2009 ini di atas kelancaran dan kejayaan program ini. Semoga program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa depan demi perpaduan dan kesejahteraan kesihatan fizikal, rohani dan sosial masyarakat di Malaysia.

"Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan.."


No comments: