.

SALAM MAAL HIJRAH
TUNGGANG DENGAN CERMAT MENYELAMATKAN HARTA DAN NYAWA

Monday, November 2, 2009

Pembukaan Rasmi Cawagan AG Motor Parit Raja

Mahkota Bikers telah diundang oleh pihak AG Motor bagi memeriahkan upacara pembukaan rasmi cawagan terbarunya di Parit Raja pada Oktober yang lepas.






Pelbagai acara menarik telah diadakan seperti jamuan makan, cabutan bertuah dan konvoi motosikal.



Pihak Mahkota Bikers merakamkan ucapan terima kasih kepada AG Motor kerana sudi mengundang kami dan kami mengharapkan perniagaan AG Motor akan terus berkembang lagi pada masa depan.


Ucapan Penghargaan Kepada Tuan-tuan Rumah Terbuka Aidilfitri

Mahkota Bikers merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua tuan-tuan rumah yang menjemput kami ke majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri yang lepas.

Hampir setiap minggu, warga Mahkota Bikers memeriahkan rumah terbuka dan hampir setiap minggu jua, semua ahli dapat berkumpul dan bermesra. Aidilfitri banyak memberikan keberkatannya di mana hubungan yang jauh sesama ahli dapat dirapatkan dan hubungan yang rapat dapat dieratkan.

Semoga dengan kedatangan Aidilfitri yang sudah, membawa kepada keberkatan silaturahim sesama ahli Mahkota Bikers.

Terima Kasih

Tuesday, September 29, 2009

Majlis Rumah Terbuka Dato' Shahrir Samad

Pada Ahad 27 September 2009 yang lepas, Mahkota Bikers telah memenuhi undangan Majlis Rumah Terbuka Adilfitri daripada Ahli Parlimen Johor Bahru, YB Dato' Shahrir Samad. Majlis diadakan di Dewan Serbaguna Sri Tebrau, Johor Bahru. Majlis bermula jam 11 pagi sehingga 5 petang.





Kehadiran 30 ahli Mahkota Bikers pada jam 12:30 tengahari menambahkan lagi kemeriahan. Ahli-ahli juga menggunakan kesempatan ini untuk beramah mesra dengan YB Dato'. Selain itu kemesraan jelas terpancar di wajah kalangan ahli sendiri kerana kehadiran Syawal membuka peluang untuk ahli bermaaf-maafan sesama sendiri.





Semoga dengan kedatangan Syawal ini ahli-ahli Mahkota Bikers akan lebih aktif menunggang motosikal dan menjadikan aktiviti ini sebagai aktiviti yang bermanfaat bagi melupakan sejenak tekanan di tempat kerja masing-masing.

Wednesday, September 2, 2009

Kembara Amal Nur Ramadhan Siri 2

Sebuah program amal yang dinamakan Kembara Amal Nur Ramadhan Siri 2 bakal diadakan pada ketetapan berikut:

Tarikh: 5 Sept 2006
Masa: 8:30 pagi-7:00 petang
Tempat bermula: Yayasan Warisan Johor
Tempat tamat: Kota Tinggi (Majlis berbuka puasa diadakan sejurus konvoi tamat)
Laluan: Johor Bahru-Batu Pahat-Kluang-Segamat-Kota Tinggi

Program ini adalah kesinambungan bagi Kembara Amal Nur Ramadhan Siri 1 yang telah berlangsung dengan jayanya pada 25 September 2008 yang lepas.

Objektif program ini adalah untuk memberikan sumbangan bagi meringankan beban kepada fakir miskin di sekitar Johor dalam menyambut kedatangan Aidilfitri. Selain itu dapat menimbulkan keinsafan di kalangan peserta konvoi untuk berbelanja secara berhemah menjelang musim perayaan.

Program ini adalah anjuran Yayasan Warisan Johor, Belia 4B Johor, Mahkota Bikers dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Diharapkan ahli Mahkota Bikers turut serta bagi menunjukkan sokongan padu terhadap program-program amal seumpama ini.

Pihak penganjur merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang dan penaja bagi program amal ini.

Tuesday, June 16, 2009

Artikel Jom Kayuh 2009 di Bike Trader





Majalah Bike Trader isu terbaru telah memaparkan artikel Jom Kayuh 2009 yang berlangsung pada Mei lalu. Laporan berbahasa Inggeris tersebut secara ringkasnya melaporkan keseluruhan maklumat program ini.

Mahkota Bikers mengucapkan terima kasih kepada pihak editor Bike Trader kerana kerjasama yang telah diberikan.

Thursday, June 4, 2009

Jelajah Santai Pantai Timur

Mahkota Bikers akan mengadakan Jelajah Santai Pantai Timur bermula dari 30 Mei hingga 4 Jun 2009 ini. Jelajah akan bermula di Kota Tingi Johor akan melalui Mersing, Endau, Pekan, Kuantan, Dungun, Kuala Terengganu, ddan berakhir di Kota Bharu, Kelantan.

Antara tujuan jelajah ini adalah untuk menikmati masa cuti, terutamanya cuti sekolah, bersiar-siar dengan motosikal dan sekaligus melapangkan fikiran dari tekanan kerja. Selain itu dapat merapatkan lagi kemesraan di kalangan ahli Mahkota Bikers.

Semoga jelajah ini dilindungi daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi S.I. Yusof Haji Muda di talian 019 7222750

Wednesday, May 20, 2009

Autodenso Parts & Acessories Sdn Bhd Menaja Perjalanan Marshall Mahkota Bikers Program Jom Kayuh 2009 JB-Melaka

Mahkota Bikers telah pun menerima tajaan daripada Autodenso Parts & Acessories Sdn Bhd melalui pengurusnya En Lai Yuk Cheong bagi melancarkan tugas sebagai marshall di dalam Program Jom Kayuh 2009 JB-Melaka pada 9-10 Mei yang lepas.

Tajaan syarikat ini adalah berbentuk sebuah helmet berjenama Zeus yang berharga RM 180 setiap satu bagi setiap marshall dan sejumlah wang tunai. Seramai 40 Marshall telah pun bertugas pada program berbasikal tersebut.



Autodenso Parts & Acessories Sdn Bhd sebelum ini telah menaja helmet Zeus kepada Mahkota Bikers pada tahun lepas untuk kegunaan ahlinya dan bagi tujuan promosi jenama Zeus.

Autodenso Parts & Acessories Sdn Bhd beralamat di No 2, Jalan Permas 2/15, Bandar Baru Permas Jaya, 81750 Johor Bahru, Johor, dan boleh dihubungi di talian 07-3872631, 019-7119521 (En Lai), email: autodens@streamyx.com

LAPORAN PROGRAM JOM KAYUH 2009

Pada 9-10 Mei yang lepas, Mahkota Bikers sekali lagi menyumbangkan baktinya kepada program-program berprofil tinggi yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan. Kali ini Program Jom Kayuh anjuran Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Gerakan Belia 4B (M) cawangan Bandar Baru UDA, Kelab Radio Kawalan Pelangi Johor Bahru, dan Mahkota Bikers telah berjalan dengan jayanya.

Program ini bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti berbasikal di kalangan masyarakat umum dan juga golongan kurang upaya. Jarak perjalanan program ini adalah sejauh 243 km.

Program Jom Kayuh telah mendapat liputan meluas media massa tempatan. Antaranya ialah bual bicara penyelaras program ini iaitu Pak Lah yang telah ke udara selama 10 minit di dalam rancangan Malaysia Hari Ini di TV3. Selain itu pihak RTM juga turut sama membuat liputan sepanjang program berlangsung.

Pada pagi 9 Mei 2009, upacara pelepasan telah disempurnakan oleh DYAM Tunku Ismail Ibrahim Ibni Ibrahim Ismail, Raja Muda Johor yang turut mencemar duli bagi menyokong program seumpama ini. Upacara diadakan di Festive Street Mall, Danga Bay. Upacara turut dimeriahkan dengan acara J-Robik.

Seramai hampir 600 peserta program, terdiri daripada 150 penunggang basikal, peserta konvoi, jawatankuasa penganjur dan yang utamanya ialah 40 ahli Mahkota Bikers telah bertugas sebagai Road Marshall. Mahkota Bikers telahpun menjalankan tugasnya dengan begitu cemerlang dan berdisiplin sepanjang laluan selain membantu memudahkan anggota trafik PDRM bertugas.

Beberapa perhentian utama telah disinggah oleh konvoi program, antaranya ialah di Rumah Alumni, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai; Pusat Rekreasi Sg. Rambah, Kukup, Pontian; Hentian Mahkota, Parit Simen, Batu Pahat; Pusat Rekreasi Air Panas, Gerisek, Muar; Taman Rekreasi Sg Kesang, Muar; dan di Melaka, konvoi telah bertemu dengan konvoi Jom Kayuh anjuran PRADAS dari Kuala Lumpur di Hutan Lipur Ayer Keroh. Seterusnya konvoi bergerak bersama ke lokasi penamat di Litar Go-Kart di Ayer Keroh dan disambut meriah oleh YAB Dato' Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka.

Pada keesokan harinya 10 Mei 2009, konvoi telah kembali bergerak ke Johor Bahru pada jam 10:30 pagi dan tiba di Danga Bay pada jam 2:00 petang. Pak Lah merakamkan penghargaan kepada semua penunggang basikal yang sudi turut serta memeriahkan Program Jom Kayuh 2009.

Mahkota Bikers juga turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan jutaan terima kasih kepada barisan jawatankuasa dan penggerak Program Jom Kayuh 2009 ini di atas kelancaran dan kejayaan program ini. Semoga program seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa depan demi perpaduan dan kesejahteraan kesihatan fizikal, rohani dan sosial masyarakat di Malaysia.

"Jauh Perjalanan, Luas Pemandangan.."


Friday, May 1, 2009

KURSUS ROAD MARSHALL 2009

Mahkota Bikers dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Daerah Johor Bahru dan Pejabat Belia dan Sukan Johor Bahru akan menganjurkan Kursus Road Marshall 2009 seperti ketentuan di bawah:

Tarikh: 3 May 2009
Masa : 9 pagi - 4 petang
Peserta : terhad kepada 100 peserta
Penceramah : Pasukan PDRM


Antara kandungan kursus adalah seperti teknik tunggangan berhemah dan selamat, panduan keselamatan penunggang dan pengguna jalanraya lain, etika ketika berkonvoi, peranan dan tanggungjawab Road Marshall.

Kursus ini akan turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Belia dan Sukan Daerah Johor Bahru Pn. Lim sebagai VIP jemputan.

Semoga kursus ini akan memberi panduan dan ilmu pengetahuan yang berguna kepada peserta baru. Manakala kepada marshall yang sedia ada dapat memprolehi maklumat terbaru dan mengulangkaji ilmu yang sudah ditimba sebelum ini.

MAHKOTA BIKERS ESCORT KONVOI 4WD ASEAN

Pada 1 May 2009, Mahkota Bikers telah bertugas untuk mengiringi konvoi sebanyak 100 buah kenderaan pacuan 4 roda (4WD). Program tahunan yang diadakan oleh pengemar sukan lasak kenderaan 4WD ini melibatkan penyertaan dari seluruh Asean. Antara negara yang terlibat ialah Malaysia, Singapura, Thailand dan lain-lain negara.

Seramai 40 marshall telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan disiplin. Semoga Mahkota Bikers akan terus dikenali dan mampu menyumbangkan baktinya kepada program-program sukan bermotor.

Saturday, April 18, 2009

Program Jom Kayuh "Berbasikal Gaya Hidup Sihat"

Satu program jelajah berbasikal yang akan diadakan pada 9-10 Mei 2009 bersempena dengan mempromosikan berkayuh basikal sebagai salah satu kaedah untuk menjaga kesihatan dan kecergasan.

Program ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor, Gerakan Belia 4B, Kelab Radio Kawalan Pelangi Johor Bahru, dan Mahkota Bikers.

Program ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. Jarak kayuhan adalah sejah 243 km.

Program akan dilepaskan oleh DYAM Raja Muda Johor Tunku Ismail di Danga Bay pada 9 May 2009. Kemudian program akan melalui Skudai, Universiti Teknologi Malaysia, Kukup, Pontian Kechil, Batu Pahat, Muar, dan berakhir di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di Melaka Bandaraya Bersejarah. Program akan disambut oleh YAB Ketua Menteri Melaka.

Keesokan harinya, terdapat Larian Gaya Hidup Sihat bersama YAB Ketua Menteri Melaka. Setelah itu peserta akan bertolak pulang ke Johor Bahru dengan menaiki kenderaan yang disediakan penganjur.

Mahkota Bikers sekali lagi bertugas sebagai road marshall yang bertanggungjawab memastikan kelicinan dan keselamatan penunggang dan juga konvoi jelajah.

Semoga program ini dapat menarik minat rakyat Malaysia terhadap sukan berbasikal.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai program ini boleh menghubungi
En Abd Lah@ Pak Lah 019-777-0435

Wednesday, April 1, 2009

Explorasi Generasi Bebas Jenayah







Bermula 19-21 Mac yang lepas, Mahkota Bikers dijemput untuk menjadi Road Marshal bagi melicinkan program yang dinamakan Explorasi Generasi Bebas Jenayah 2009 anjuran Majlis Belia Felda Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Program ini antara lain bertujuan untuk mempromosi generasi belia bebas jenayah. Selain berkonvoi ke seluruh negeri Johor, program ini juga menyelitkan aktiviti seperti gotong-royong sefelda, menyebarkan risalah dan maklumat di tempat-tempat tumpuan awam, majlis tahlil dan ceramah agama.

Konvoi dilepaskan di Felda Pengeli Timur, Kota Tinggi bergerak menuju ke Kulai, Senai, Felda Ulu Tebrau, Kota Tinggi, Felda Pasak, Gugusan Felda Air Tawar 1-5, Felda Lok Heng, Gugusan Felda Tenggaroh, Mersing dan hari pertama berakhir di Felda Endau. Majlis tahlil dan ceramah pendek telah diadakan di situ. Konvoi bermalam di Pantai Pasir Lanun, Penyabong, Mersing.



Hari kedua, konvoi bergerak melalui bandar Mersing, Felda Nitar, Gugusan Felda Kahang, Renggam, Simpang Renggam, dan beraktiviti di Benut, Pontian. Selesai solat Jumaat, konvoi bergerak menuju ke Batu Pahat dan berhenti di Parit Sangit untuk melawat Usahawan Belia di situ. Setelah itu konvoi menuju ke Muar, melalui Sungai Mati, Bukit Gambir dan tamat di Felda Sri Ledang. Ceramah diadakan di situ. Konvoi bermalam di bandar Segamat.







Hari terakhir konvoi bergerak dari bandar Segamat melalui Labis, Ca'ah, Yong Peng, Air Hitam, bandar Kluang dan menuju ke lokasi penamat di Felda Bukit Tongkat. Pelbagai acara telah diadakan di situ seperti pertandingan Paint Ball, Tarian Kuda Kepang, Futsal, Bola Jaring, Autoshow, pembukaan booth pameran agensi kerajaan dan lain-lain lagi. Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan turut hadir memeriahkan acara.



Konvoi seumpama ini wajar dilaksanakan setiap tahun bagi menggalakkan aktiviti yang berfaedah kepada masyarakat Felda terutamanya golongan belia.

Tuesday, March 10, 2009

Program Hari Landskap Negara dan Festival Taman Malaysia Johor 2009

Bermula 1-8 Mac 2009 yang lepas, sebuah program anjuran Jabatan Landskap Negara dan Kerajaan Negeri Johor yang dinamakan Program Hari Landskap Negara dan Festival Taman Malaysia Johor 2009 telah diadakan di Hutan Bandar MPJBT, Mutiara Rini, Skudai Johor.

Bertemakan "Landskap Warisan Kita", program ini antaranya bertujuan untuk mempromosi kesedaran di kalangan rakyat Malaysia akan kepentingan menanam pokok bagi menjamin keseimbangan ekosistem bumi untuk diwarisi generasi masa depan. Program dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor pada 1 Mac. Manakala penutup disempurnakan oleh Datin Seri Jeanne Abdullah, isteri Perdana Menteri Malaysia pada 7 Mac.



Mahkota Bikers telah dijemput untuk menyertai acara pameran sepanjang program berlangsung. Antara yang dipamerkan adalah motor-motor berkuasa tinggi, banner, poster, maklumat mengenai persatuan dan juga kempen kesedaran keselamatan tunganggan di jalanraya. Mahkota Bikers juga berkesempatan untuk mempromosikan helmet berjenama Zeus kerana Mahkota Bikers telah ditaja oleh helmet berjenama Zeus untuk kegunaan ahlinya. Selain itu juga terdapat t-shirt berlogo Mahkota Bikers dijual kepada pengunjung.

Semoga acara seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan dalam memastikan alam sekitar, ekosistem dan kadar pencemaran dapat dikurangkan bagi menjamin kemakmuran bumi pada masa depan.

Wednesday, February 25, 2009

Rumah Terbuka Chinese New Year



Pada 27 Januari lepas, Mahkota Bikers telah dijemput untuk menghadiri rumah terbuka ahli kelab yang berbangsa Cina di Pontian Kechil, Pontian, Johor. Seramai hampir 30 ahli hadir memenuhi undangan tersebut. Konvoi memesuki daerah Pontian dengan diiringi oleh kereta peronda PDRM sehingga ke lokasi.



Mahkota Bikers mengucapkan ribuan terima kasih dan semoga kejayaan sentiasa mengiringi tuan rumah sepanjang tahun ini.

Diharap hubungan erat di antara ahli dapat dikekalkan.

Konvoi Gong Xi Fatt Chai

Pada 25 Januari lepas, Mahkota Bikers telah berkonvoi ke Melaka Bandaraya Bersejarah. Bermula pada 9 pagi dan balik ke Johor Bahru pada 9 malam. Konvoi hanya makan tengahari di Ayer Keroh, Melaka.

Antara tujuan konvoi adalah untuk memanaskan enjin. Selain itu mengkaji laluan lebuhraya Utara-Selatan akan kesesakannya semasa musim perayaan.

Semoga pengguna jalanraya di Malaysia memandu dan menunggang dengan penuh berhemah.